support

Nov 23, 2010

'Saya bermula dari kosong'

DARIPADA seorang yang memiliki segala kemewahan, kemudian segalanya hilang sekelip mata, ia pasti memberikan kesan mendalam yang sukar dilupakan.

Namun bagi Datuk Zainuri Mohd Zain, biarpun sepahit hempedu, pengalaman silam mengajarnya erti kehidupan sebenar, malah segala yang berlalu dianggapnya satu pengajaran yang mampu mematangkan jiwa dan fikiran.


Walaupun halangan yang perlu ditempuh sukar, dia membulatkan nekad untuk mengubah nasibnya demi diri dan anak-anak.


"Saya nekad untuk mendapatkan apa yang dimiliki sebelum ini, tapi kali ini atas usaha dan penat lelah sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.


"Jika sebelum ini apa yang dilakukan hanya membantu daripada tepi, tapi kini saya sendiri yang membabitkan diri berusaha mengelolakan sesuatu dan menikmati hasil yang diusahakan," kata usahawan yang menceburi bidang perhotelan dengan tertubuhnya Nuriz Inn di Sungai Lalang dan Nuriz Palace di Aman Jaya, Kedah.


Beliau turut menjalankan pelbagai perniagaan lain antaranya membuka kedai dobi, butik, spa dan kafe serta memasarkan produk kosmetik.

Wanita ini bermula sebagai pemborong buah-buahan secara kecil-kecilan di Kedah. Nasib memang amat menyebelahinya apabila tidak sampai setahun mengusahakan perniagaan itu, dia mampu untuk menyimpan wang demi melaksanakan projek yang lebih besar.


Sebagai permulaan dia mengedarkan buah dokong yang diambil dari Kelantan. Untuk memastikan barangan dijualnya memenuhi kehendak pelanggan, dia menjelajah ke setiap pasar malam yang ada sekitar Kedah bagi mendapatkan pembeli tetap.


"Saya memang bermula dari sifar, tapi tidak bermakna saya hanya boleh melakukannya setakat itu saja. Secara berperingkat saya cuba untuk menceburi bidang perniagaan lain.


"Asas berniaga yang ada hasil pengalaman sebelum ini saya gunakan sebaik mungkin bagi memastikan objektif utama tercapai. Saya juga ingin membuktikan walaupun pernah mengalami kegagalan, tidak bermakna kita perlu meratapinya seumur hidup," katanya.


Bangkit daripada zaman kejatuhan itu, anak jati negeri Che Siti Wan Kembang ini mula mengasaskan rangkaian produk kecantikan Nuriz Kosmetik pada 1997 dan kini sudah bertapak selama 13 tahun di pasaran tempatan.


Zainuri ataupun lebih dikenali sebagai Nurie berkata, dia dilahirkan dalam keluarga berniaga manakala familinya memiliki kedai kain dan kedai peralatan selain kilang batik dan tembakau. Malah, sebelum ini beliau juga berkahwin dengan orang bisnes dan tidak dinafikan, wanita di Kelantan memang terkenal dalam dunia perniagaan. Jadi tidak hairan kalau darah berniaga mengalir deras dalam jiwa wanita cekal ini.


Akuinya, setiap pengalaman yang diperoleh daripada keluarga dan bekas suami itu dijadikan sebagai panduan dan sempadan untuk berjaya dalam perniagaan diceburinya.


"Jika dulu saya hanya mampu melihat, tapi kini dapat merasai sendiri kepuasan apabila perniagaan yang dijalankan memperoleh keuntungan.


"Pengalaman itu amat sukar dijelaskan kerana hanya diri kita sendiri mengetahui susah payah dan jerit perih berhempas pulas bagi memastikan perniagaan mengecap kejayaan dan diterima ramai," katanya.


Meskipun wanita lingkungan usia 40-an ini boleh berbangga dengan pencapaiannya kini, segala-galanya tidak datang bergolek.


Kesungguhan dan keazaman amat diperlukan bagi memotivasikan diri untuk berjaya di samping tidak segan mencuba dan bermula dari bawah.


"Kejayaan yang saya ada kini bukan diperoleh dengan mudah, saya mencabar diri untuk terus berjaya.


"Jangan mudah mengaku kalah apabila menghadapi dugaan dalam hidup sebaliknya atasi perkara itu dengan kecekalan dan harapan untuk terus berjaya," katanya.


Malah, ibu kepada enam anak itu amat menitikberatkan pelajaran dalam mendidik anak-anaknya. Baginya, hanya melalui pelajaran saja seseorang itu mampu untuk berdikari tanpa mengharapkan bantuan dan sokongan mana-mana pihak.


Dalam dunia serba moden ini, tanpa pelajaran kita akan jauh ketinggalan dan hakikat ini dipelajarinya dengan penuh kepayahan dalam usia yang agak lewat, tetapi ia bukan penyebab untuk meratapinya setiap masa.


Mengimbas kembali perjalanan hidup waktu mudanya, beliau akui banyak menghabiskan masa tanpa arah tujuan tetap dan tidak begitu menitikberatkan pelajaran.


"Saya tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkah saya waktu muda dulu yang terlalu banyak menghabiskan masa dengan bersenang-lenang tanpa memikirkan masa depan.


"Sebolehnya saya ingin pastikan mereka mempunyai hala tuju sendiri dalam menentukan masa depan mereka supaya tidak mengalami nasib yang sama seperti saya," katanya.


Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan sentiasa bersikap terbuka, malah sering menasihatkan rakan seperjuangan supaya lebih berani dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.


"Kita tidak perlu bimbang kerana rezeki ada di mana-mana asalkan jujur dan komited dan paling utama, jangan takutkan bayang sendiri kerana ia boleh melemahkan kita.


"Jangan malu untuk memulakannya dan bila sudah bertapak, jangan pula mengabaikannya sebaliknya cari jalan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

sumber http://www.hmetro.com.my/articles/Sayabermuladarikosong/Article
usahawan contoh berjiwa "emas"

"menyimpan emas asas kekayaan anda" ikhlas dari hafizgold interprise, call.013-3196406, emel/fb : fiz_237@yahoo.com.my



Nov 15, 2010

"dinar emas akan henti perang mata wang"

2010/11/01
KUALA LUMPUR: Kerajaan di seluruh seharusnya menimbangkan penggunaan dinar emas bagi menghentikan perang mata wang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, penyusutan dolar Amerika Syarikat mewujudkan masalah bagi negara kerana mereka perlu menurunkan nilai mata wang mereka bagi mengatasi kerugian daya saing.

"Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, akan ada perang mata wang dan sudah tentu akan menyumbang kepada krisis," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, emas mempunyai nilai intrinsik iaitu nilai yang lebih baik berbanding mata wang.

"Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa," katanya.

Mengenai perbankan Islam, Dr Mahathir berkata institusi kewangan perlu berhati-hati semasa memperkenalkan produk baharu dan tidak mengadakan apa yang telah ditawarkan oleh bank konvensional.

Beliau berkata, institusi kewangan Islam seharusnya mematuhi prinsip perbankan Islam walaupun terdapat peluang untuk mereka mengambil alih tanggungjawab perbankan konvensional. - BERNAMA

"menyimpan emas asas kekayaan anda" ikhlas dari hafizgold interprise, call.013-3196406, emel/fb : fiz_237@yahoo.com.my

Nov 14, 2010

cerita usahawan "emas"

SIAPA sangka, anak kampung tidak memiliki pendidikan tinggi ini akan bergelar jutawan dan memiliki rangkaian perniagaan yang bukan calang-calang.

Buktinya, dia berjaya membina empayar perniagaan yang mungkin tidak dapat dicapai individu berijazah mahupun berkelulusan tinggi lain yang lebih gemar kerja makan gaji.

Tidak pernah lupa asal usulnya, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, kejayaan dikecapi tidak datang bergolek, sebaliknya ia hasil kerja keras dan sikap tidak pernah putus asa yang tertanam dalam dirinya.

Menceritakan kembali zaman kesusahannya waktu itu, Jamal berkata, keluarganya bukan daripada kalangan orang senang. Bapanya hanya bekerja kampung manakala ibunya penjual kuih.

"Seawal usia 10 tahun, saya menolong abang menjual hasil tangkapan laut di Pasar Sekinchan menaiki basikal sejauh lima kilometer dari rumah.

"Selain itu saya melakukan pelbagai kerja kampung seperti kopek kelapa, kait kelapa dan menolong rakan menjual burger bagi mencari duit poket," katanya.

Sebaik tamat sekolah di Sekolah Menengah Datuk Mustafa Pasir Panjang, Sabak Bernam, dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Berbekalkan wang hasil kerja kampungnya sebanyak RM80, dia berazam mengubah nasib dirinya dan keluarga, apatah lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan.

Meskipun disuruh ibunya mengambil semula peperiksaan itu, dia enggan kerana minatnya lebih terdorong ke arah kemahiran, terutama perniagaan.

"Pada mulanya ibu melarang saya ke Kuala Lumur sebab dia mahu saya mengambil SPM kali kedua, namun saya 'terpaksa' tipu mengatakan saya hanya mahu berjumpa kawan di sana.

"Tiba di Kuala Lumpur, saya menumpang di rumah seorang rakan dan bekerja sebagai budak penghantar surat dengan gaji RM7 sehari.

"Waktu itu baru saya tahu bagaimana peritnya bekerja di kota besar dengan gaji yang tak seberapa hinggakan dalam keadaan terdesak, saya pernah makan baki nasi bungkus ditinggal rakan yang dihurung semut dalam keadaan gelap untuk alas perut kerana tidak berselera menelannya dalam keadaan terang," katanya.

Tambah Jamal, hanya tuhan tahu perasaannya waktu itu sebab mahu buang tidak sampai hati, manakala mahu beli nasi baru dia tiada wang.

Selepas dua bulan menjadi budak penghantar surat, dia berhenti kerja akibat tidak tahan leteran majikan sebelum bekerja di kilang Ramly burger di Cheras dengan pendapatan RM10 sehari.

Bosan dengan kerja makan gaji, pemilik syarikat pengimport dan penjual kenderaan import baru dan terpakai IBM Automobiles Sdn Bhd ini tekad memulakan hidup baru dengan membuka perniagaan menjual burger di sekitar Bandar Baru Sentul.

Waktu itu dia menggunakan kayu terpakai mendirikan gerai mengikut kreativitinya sendiri, termasuk mengecat sebagai langkah permulaan.

Tidak menyangka sambutan diterima di luar jangkauan, bermula hanya sebuah gerai ia berkembang menjadi 11 gerai menjual burger sekitar Lembah Klang dalam tempoh dua tahun beroperasi.

Dalam tempoh itu juga Jamal mampu membeli tujuh van digunakan sebagai kemudahan berniaga di 13 lokasi pasar malam yang beroperasi serentak.

"Selepas perniagaan burger maju, saya mengembangkannya dengan membuka syarikat menyediakan perkhidmatan khemah dan membekalkan alat tulis kepada Kementerian Pertahanan dan jabatan kerajaan selain menceburi bidang pembinaan.

"Pada 1995, minat saya lebih terarah ke bidang automotif pula dan berpeluang menjadi pengarah di sebuah syarikat permotoran," katanya.

Prestasi baik yang ditunjukkan membolehkan Jamal ditawarkan jawatan eksekutif jualan kepada beberapa syarikat pengimport kereta.

Jawatan itu juga membolehkan dia menjelajah ke Itali, Jepun dan negara Eropah lain bagi mengetahui lebih lanjut mengenai dunia automotif.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Nasib tidak menyebelahi Jamal apabila negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997.

Jamal terpaksa menggadaikan semua aset sedia ada bagi melangsaikan hutang tertunggak. Tidak mampu menghadapi tekanan, dia melarikan diri ke Jakarta selama setahun.

Berbekalkan RM100,000 di sana, dia memulakan hidup baru dengan menjual kain pasang yang dieksport ke Malaysia dan perniagaannya maju.

"Mungkin ini ujian Allah supaya berkongsi rezeki dengan mereka yang berhak. Namun saya reda dan ia benar-benar memberi pengajaran supaya tidak lalai dengan nikmat diberi.

"Pun begitu saya bersyukur walaupun aset tergadai, segala hutang berjaya dilangsaikan dan pulang saja ke Malaysia, saya tekad membuka semula perniagaan secara perlahan sebelum berjaya membuka IBM Automobiles Sdn Bhd," katanya.

Kini Jamal mampu tersenyum puas apabila jualan keretanya menjangkau 30 kereta sebulan, malah semua anak syarikatnya juga dalam keadaan stabil.

Meskipun memiliki rangkaian perniagaan besar dan bertaraf jutawan, ia bukan satu tiket untuk Jamal mendabik dada, sebaliknya rezeki diperoleh dikongsi bersama mereka yang berhak.

"Saya akan mengadakan seminar selama seminggu yang diadakan di IBM di Kuala Lumpur, malah segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya.


"Daripada 50, 10 yang terbaik dipilih mengikuti kursus automotif di Itali dan Jepun sebagai persediaan apabila pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pekerja serba boleh.


"Di sana, mereka akan diajar cara penyelenggaraan kenderaan yang pelbagai bentuk dengan betul dan lebih terperinci," katanya.


Dalam pada itu, IBM Automobiles terus mengorak langkah apabila bakal membuka dua cawangan sekitar Lembah Klang dan di negeri yang belum diputuskan.

Menariknya, ia bukan sekadar pusat jualan kereta, malah turut disediakan bengkel dan kemudahan alat tukar ganti di tempat sama.


Paling membanggakan, IBM Automobiles turut memiliki rangkaian di United Kingdom (UK). Bukan mudah bagi anak Melayu menembusi pasaran luar negara jika tidak memiliki kedudukan ekonomi kukuh.


"Di sana ada tiga kakitangan memantau segala urusan mengenai kereta yang bakal dibawa ke Malaysia. Saya bersyukur sebab selama ini tidak pernah bermimpi memiliki perniagaan seperti sekarang," katanya.


Sewaktu ditanya mengenai kehidupan hariannya yang banyak dihabiskan di pejabat berbanding di rumah, Jamal menjelaskan ia rutin biasa.


"Memandangkan isteri turut menjalankan perniagaan, jadi tiada masalah sebab kami faham kesibukan masing-masing. Selalunya jika ada masa lapang kami mengambil cuti dan bersantai bersama anak.


"Setakat ini dia (isteri) tidak pernah merungut, malah kami sentiasa memberi kata-kata sokongan antara satu sama lain untuk bergelar usahawan berjaya," katanya sambil tersenyum.

PROFIL
NAMA: Datuk Jamal Md Yunos
UMUR: 33 tahun
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif IBM Automobiles Sdn Bhd
ASAL: Sungai Leman, Sekinchan
ISTERI: Nurhanizatul Shida Mat Hassan
ANAK: Mohd Amin Danial (10)

"menyimpan emas asas kekayaan anda" ikhlas dari hafizgold interprise, call.013-3196406, emel/fb : fiz_237@yahoo.com.my



Related Posts with Thumbnails