DARIPADA seorang yang memiliki segala kemewahan, kemudian segalanya hilang sekelip mata, ia pasti memberikan kesan mendalam yang sukar dilupakan.
Namun bagi Datuk Zainuri Mohd Zain, biarpun sepahit hempedu, pengalaman silam mengajarnya erti kehidupan sebenar, malah segala yang berlalu dianggapnya satu pengajaran yang mampu mematangkan jiwa dan fikiran.
Walaupun halangan yang perlu ditempuh sukar, dia membulatkan nekad untuk mengubah nasibnya demi diri dan anak-anak.
"Saya nekad untuk mendapatkan apa yang dimiliki sebelum ini, tapi kali ini atas usaha dan penat lelah sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.
"Jika sebelum ini apa yang dilakukan hanya membantu daripada tepi, tapi kini saya sendiri yang membabitkan diri berusaha mengelolakan sesuatu dan menikmati hasil yang diusahakan," kata usahawan yang menceburi bidang perhotelan dengan tertubuhnya Nuriz Inn di Sungai Lalang dan Nuriz Palace di Aman Jaya, Kedah.
Beliau turut menjalankan pelbagai perniagaan lain antaranya membuka kedai dobi, butik, spa dan kafe serta memasarkan produk kosmetik.
Wanita ini bermula sebagai pemborong buah-buahan secara kecil-kecilan di Kedah. Nasib memang amat menyebelahinya apabila tidak sampai setahun mengusahakan perniagaan itu, dia mampu untuk menyimpan wang demi melaksanakan projek yang lebih besar.
Sebagai permulaan dia mengedarkan buah dokong yang diambil dari Kelantan. Untuk memastikan barangan dijualnya memenuhi kehendak pelanggan, dia menjelajah ke setiap pasar malam yang ada sekitar Kedah bagi mendapatkan pembeli tetap.
"Saya memang bermula dari sifar, tapi tidak bermakna saya hanya boleh melakukannya setakat itu saja. Secara berperingkat saya cuba untuk menceburi bidang perniagaan lain.
"Asas berniaga yang ada hasil pengalaman sebelum ini saya gunakan sebaik mungkin bagi memastikan objektif utama tercapai. Saya juga ingin membuktikan walaupun pernah mengalami kegagalan, tidak bermakna kita perlu meratapinya seumur hidup," katanya.
Bangkit daripada zaman kejatuhan itu, anak jati negeri Che Siti Wan Kembang ini mula mengasaskan rangkaian produk kecantikan Nuriz Kosmetik pada 1997 dan kini sudah bertapak selama 13 tahun di pasaran tempatan.
Zainuri ataupun lebih dikenali sebagai Nurie berkata, dia dilahirkan dalam keluarga berniaga manakala familinya memiliki kedai kain dan kedai peralatan selain kilang batik dan tembakau. Malah, sebelum ini beliau juga berkahwin dengan orang bisnes dan tidak dinafikan, wanita di Kelantan memang terkenal dalam dunia perniagaan. Jadi tidak hairan kalau darah berniaga mengalir deras dalam jiwa wanita cekal ini.
Akuinya, setiap pengalaman yang diperoleh daripada keluarga dan bekas suami itu dijadikan sebagai panduan dan sempadan untuk berjaya dalam perniagaan diceburinya.
"Jika dulu saya hanya mampu melihat, tapi kini dapat merasai sendiri kepuasan apabila perniagaan yang dijalankan memperoleh keuntungan.
"Pengalaman itu amat sukar dijelaskan kerana hanya diri kita sendiri mengetahui susah payah dan jerit perih berhempas pulas bagi memastikan perniagaan mengecap kejayaan dan diterima ramai," katanya.
Meskipun wanita lingkungan usia 40-an ini boleh berbangga dengan pencapaiannya kini, segala-galanya tidak datang bergolek.
Kesungguhan dan keazaman amat diperlukan bagi memotivasikan diri untuk berjaya di samping tidak segan mencuba dan bermula dari bawah.
"Kejayaan yang saya ada kini bukan diperoleh dengan mudah, saya mencabar diri untuk terus berjaya.
"Jangan mudah mengaku kalah apabila menghadapi dugaan dalam hidup sebaliknya atasi perkara itu dengan kecekalan dan harapan untuk terus berjaya," katanya.
Malah, ibu kepada enam anak itu amat menitikberatkan pelajaran dalam mendidik anak-anaknya. Baginya, hanya melalui pelajaran saja seseorang itu mampu untuk berdikari tanpa mengharapkan bantuan dan sokongan mana-mana pihak.
Dalam dunia serba moden ini, tanpa pelajaran kita akan jauh ketinggalan dan hakikat ini dipelajarinya dengan penuh kepayahan dalam usia yang agak lewat, tetapi ia bukan penyebab untuk meratapinya setiap masa.
Mengimbas kembali perjalanan hidup waktu mudanya, beliau akui banyak menghabiskan masa tanpa arah tujuan tetap dan tidak begitu menitikberatkan pelajaran.
"Saya tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkah saya waktu muda dulu yang terlalu banyak menghabiskan masa dengan bersenang-lenang tanpa memikirkan masa depan.
"Sebolehnya saya ingin pastikan mereka mempunyai hala tuju sendiri dalam menentukan masa depan mereka supaya tidak mengalami nasib yang sama seperti saya," katanya.
Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan sentiasa bersikap terbuka, malah sering menasihatkan rakan seperjuangan supaya lebih berani dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.
"Kita tidak perlu bimbang kerana rezeki ada di mana-mana asalkan jujur dan komited dan paling utama, jangan takutkan bayang sendiri kerana ia boleh melemahkan kita.
"Jangan malu untuk memulakannya dan bila sudah bertapak, jangan pula mengabaikannya sebaliknya cari jalan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi," katanya.
sumber http://www.hmetro.com.my/articles/Sayabermuladarikosong/Article
usahawan contoh berjiwa "emas"
"menyimpan emas asas kekayaan anda" ikhlas dari hafizgold interprise, call.013-3196406, emel/fb : fiz_237@yahoo.com.my
No comments:
Post a Comment
terima kasih